Thursday, September 10, 2009

Perkara-perkara yang Menguji Kesabaran

1)KEHILANGAN ORANG YANG TERSAYANG

2)KESESAKAN LALU LINTAS

3)KEHILANGAN HARTA BENDA

4)GAGAL DALAM PEPERIKSAAN

5)NASIHAT YANG DISAMPAIKAN TIDAK DIPEDULIKAN

6)MENGHIDAP PENYAKIT

Ciri-ciri Orang yang Sabar

Pertama
Bersyukur dengan segala yang berlaku.

Kedua
Redha dengan ketentuan Ilahi

Ketiga
Mengucapkan “Innalillah hi wain na ilaihi ro ji’un” apabila menerima musibah

Keempat
Yakin bahawa setiap perkara yang berlaku itu ada hikmah di sebaliknya

Bila Tuhan Sedang Menduga

Sumber: Nuri Supian, Majalah Mingguan Wanita, Bil 1322, 20-26 Mac 2009

Menghadapi dua kehilangan orang tersayang dalam masa berturut bukan sahaja membuat hati saya tidak bermaya, tetapi menyebabkan minda saya menerawang jauh. Saya bagaikan terkesima. Bukan tidak redha dengan ketentuan Allah tetapi kenangan bersama orang-orang tersayang ini membuat hati mudah tersentuh dan air mata pun mudah mengalir.Namun yang pergi tetap pergi. Mereka tidak akan kembali menemui saya dan saudara mara yang ditinggalkan. Kenanganlah yang menjadi pengubat rindu.

Pengalaman pahit ini biarpun sukar untuk diucapkan dengan kata-kata tetapi hati yang merana pasti tidak dapat berbohong. Ketika saya kehilangan ayah dua tahun lalu, dunia terasa begitu sunyi. Kegembiraan bagaikan direntap tetapi bapa saudara yang menjadi wakil ayah mampu menceriakan semula kehidupan. Tetapi akhirnya dia juga menemui Tuhan. Saya kembali sepi. Wajah dan tawanya terbayang di mata. Nasihatnya yang tidak pernah jemu-jemu diasak ke minda ini masih terdengar-dengar di telinga.

Belum reda menahan pilu atas pemergiannya, ujian datang lagi. Sehari selepas kehilangan besar itu, kami kehilangan lagi. Anak saudara yang sedang diambang remaja, beberapa bulan lagi akan melangkah usia 21 tahun pula dipanggil Tuhan. Tangisan tidak mungkin mampu lagi mengembalikan mereka. Mereka telah kembali ke Penciptanya.

SEBESAR MANA PUN KASIH KITA SESAMA MANUSIA, IA TIDAK AKAN MAMPU MELAWAN KASIH TUHAN KEPADA HAMBA-NYA. DIA YANG MENDATANGKAN KITA KE ALAM INI, DAN DIALAH YANG LEBIH BERHAK MENGAMBILNYA SEMULA APABILA TIBA MASA YANG DITETAPKAN-NYA. DAN MASA ITU TIDAK AKAN PERNAH TERLEWAT ATAU TERCEPAT WALAU SEMINIT PUN. TIDAK KIRA BETAPA USIA KITA KETIKA ITU, SAMA ADA SUDAH MENJADI PELEPAH TUA ATAUPUN MASIH BARU BERPUTIK.


Saya belajar menjadi tabah dan menerima ketentuan Allah ini. Cepat ataupun lambat, kita pun suatu hari nanti akan ke sana jua. Sementara masih di sini marilah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri. Memberikan yang terbaik untuk kehidupan kita dan kehidupan orang lain. Kita ambil kebaikan daripada orang Jepun yang menganggap bahawa kehidupan ini bagaikan bunga sakura yang kehidupannya hanya seminggu. Kerana itu mereka berlumba-lumba untuk maju dan memperbaiki diri menjadi lebih baik setiap hari. Seperti bunga sakura itu,ia menjadikan kehidupanya yang singkat untuk mengindahkan alam ini dengan kecantikan dan keharumannya. Kita pun harus hidup seperti itu. Hidup dengan penuh kebaikan dan kemuliaan.

Luruskan pedoman dan tetapkan iman. Tuhan kita hanya satu dan kepadanya kita akan menuju.

Doa Menohon Kesabaran Dan Himpunan Doa Harian

Doa Mengambil wuduk


Doa Penerang Hati


Doa Hilang Rasa Marah


Doa Masuk Tandas


Doa Hindar Azab Api Neraka


Doa Mohon Kesabaran


Doa Taubat



Doa Keluar Tandas


Doa Menghilangkan Rasa Takut atau Terkejut


Doa Sebelum Tidur


Doa Bangun Tidur


Doa Menuntut Ilmu


Doa Para Rasul dan Mukmin


Doa Mendapat Berita Gembira


Doa Ketika Sukar Menyelesaikan Masalah


Doa Menghadapi Kecelakaan


Doa Waktu Pagi dan Petang

Tips Cara Melatih kesabaran Kita Menghadapi Berbagai Situasi

Setiap orang pasti ingin memiliki kesabaran yang tinggi. Tetapi bagaimana caranya agar kita boleh bersabar ketika sedang menunggu teman yang sudah membuat janji dengan kita tetapi teman yang kita tunggu tidak datang-datang?

Nah, untuk menumbuhkan kesabaran yang kita miliki ada beberapa cara, antara lain :

Pertama
Berfikir positif terhadap hal-hal yang menimpa kita. Anggaplah itu adalah ujian bagi kita dan semoga kita dapat melepasi ujian tersebut.

Apa yang kita fikirkan di dalam minda kita memang benar-benar mempengaruhi tindakan kita. Apabila perkara yang difikirkan adalah baik, maka kita cenderung melakukan perkara yang baik juga dan begitulah sebaliknya. Inilah sebabnya mengapa Allah SWT dengan murah hati memberikan kita pahala apabila kita berniat untuk melakukan kebaikan.

Mengapa kita perlu menganggap sesuatu perkara buruk yang berlaku kepada kita sebagai ujian? Hal ini mudah sahaja untuk difahami. Kita lihat kehidupan kita sebagai pelajar. Setiap kali pensyarah memaklumkan tarikh peperiksaan, semestinya kita sudah mula risau dan segera bertungkus lumus untuk belajar. Ketika itulah kita akan sibuk mencari buku, mengambil kelas tuisyen dan mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan agar kita mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan kelak. Mana mungkin ada orang yang ingin gagal dalam peperiksaan bukan? Begitulah juga halnya dengan kesabaran. Anggaplah ia sebagai ujian daripada Allah dan kita akan cuba melatih diri kita supaya sifat tersebut terus subur dalam diri kita dan InsyaAllah kita akan mendapat ganjaran yang berlipat-kali ganda hikmah dari kesabaran yang kita amalkan.

Kedua
Perbanyakkan membaca bahan bacaan. Hal ini dilakukan agar kita dapat memahami lebih banyak tentang kekurangan yang kita miliki, sehingga kita akan semakin merasa betapa banyaknya ilmu pengetahuan yang belum kita miliki.

Bahan bacaan, selain daripada dapat memanfaatkan masa terluang kita, ia juga dapat untuk menambahkan pengetahuan. Kita dapat mengetahui tentang pelbagai ilmu pengetahuan dan segala isu yang berlaku di sekeliling kita. Orang berilmu, apabila semakin banyak ilmu yang dipelajari, semakin banyak pula yang dirasakan dia tidak tahu. Ini kerana mereka sedar apa jua yang mereka ketahui hanyalah sekadar setitis dakwat jika dibandingkan dengan ilmu Allah.

Kita dapat melatih menjadi sabar dengan pembacaan kerana semakin kita suka membaca semakin banyak yang ingin kita ketahui. Jika sebelum ini kita tidak mengetahui tentang sesuatu perkara, tetapi kerana kesabaran kita melakukan pembacaan membolehkan kita menjadi seorang insan yang berilmu. Kata-kata seperti ini selalu terdetik dalam fikiran saya "hmm, sebelum ni aku tak pernah tahu pun pasal benda ni, sekarang bila dah tua macam ni barulah aku tahu. eei, teruknya aku ni. Kena lebih rajin baca bukulah lepas ni". Ia sering menyedarkan saya tentang betapa kerdilnya saya dibandingkan ilmu yang Allah miliki. Apabila kita sedar akan kekurangan kita, kita harus berusaha untuk menjadi lebih baik dan cuba memupuk diri menjadi insan yang berakhlak mulia, seperti sabar.

Ketiga
Berkumpullah dengan orang-orang yang banyak ilmunya.

Apabila kita bersahabat dengan orang yang menjual minyak wangi, pasti kita juga akan turut berbau harum. Begitulah juga halnya jika kita bersahabat dengan orang yang banyak ilmunya, pasti kita juga akan menjadi berilmu. Ilmu bukan sahaja datang daripada bahan bacaan namun ilmu juga boleh didapati daripada orang yang mengamalkannya.

Orang yang berilmu akan sentiasa tunduk pada kekuasaan Allah, sama halnya seperti kata pepatah "Jadilah seperti padi, semakin tunduk semakin berisi". Kita akan makin sedar tentang hakikat kehidupan kita di dunia ini dan pastinya kita akan melakukan perkara yang disukai Allah. Sesungguhnya kesabaran dapat menghindarkan diri kita daripada melakukan perkara tidak berfaedah yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Keempat
Berlatih memasukkan benang ke lubang jarum, dan yang dipilih adalah jarum yang ukuran paling kecil.

Nah, ini adalah perkara yang paling mudah untuk dilakukan tanpa perlu berbelanja besar atau menggunakan masa yang banyak. Pergi sahaja ke mesin jahit ibu dan ambillah bekas jarum yang digunakannya unutuk menjahit. Mengapa kita perlu mengambil jarum yang paking kecil. Ini kerana sudah pasti jarum kecil menyukarkan kita unutk memasukkan benang ke dalamnya!

Saya sendiri apabila ada pakaian yang yang terkoyak, terpaksa mengambil masa yang lama untuk memasukkan benang ke dalam lubang jarum biarpun jarum yang digunakan bersaiz sederhana. Kebiasaannya cubaan pada kali pertama pasti tidak berjaya dan ini menyebabkan saya marah-marah. Ini mungkin kerana tahap kesabaran saya yang kurang.

Rasionalnya menggunakan jarum yang kecil adalah kita akan terus berusaha untuk memastikan matlamat kita memasukkan benang ke dalam lubang jarum tercapai. Usaha kita yang berterusan menunjukkan bahawa kita tidak berputus asa dan terus sabar menghadapi kesusahan. Apabila kita sudah dapat mempraktiskan kaedah ini, nescaya kita dapat melatih diri untuk lebih bersabar apabila dihadapkan dengan ujian yang jauh lebih sukar dalam dunia sebenar.



Kelima
Maafkan selalu kekurangan oarang lain yang mungkin membuat anda marah. Yakinkan diri bahawa setiap manusia pasti memilIki kekurangan masing-masing.

Tiada insan di dunia ini yang sempurna kerana kesempurnaan itu hanya terletak pada Allah. Tidak semua insan yang memiliki paras rupa yang cantik juga memiliki kecantikan sahsiah dan begitulah juga sebaliknya. Apabila orang membuatkan kita terasa seperti ingin menghamburkan segala kemarahan kita kepadanya, ambillah masa unutk bertenang seketika. Cuba bayangkan diri kita di tempatnya. Apakah perasaan kita apabila dimarahai oleh orang lain? Pasti kita tidak suka bukan? Malahan tiada siapa pun di atas dunia ini yang inginkan dirinya dimarahi

Oleh itu, terimalah bahawa segala kekurangan yang diberikan oleh Allah pasti mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Banyak perkara buruk yang berlaku dalam kehisupan kita sebenarnya membawa seribu erti untuk kita terokai dan hayati.


Selamat Mencuba

Kita dan Sampah


Lumrahnya kita tidak lupa
membuang sampah dan kotoran
sisa-sisa buangan rumah
yang terkumpul semalaman
mahunya cepat-cepat diangkut pergi
menjadi marah jika tidak diangkat berhari-hari
kerana tidak mahu kucing dan anjing liar mengais
tong dan bau busuk menusuk hidung

Sebaliknya kita terlupa
membuang sampah dan kotoran
yang bergelumang di hati
yang bersarang pada diri
seperti kita tidak lupa
menyerikan rumah dengan bunga di taman
tetapi kita terlupa
unutk serikan hati
dengan taqwa dan iman

Nukilan: Ehsan Jamily, Parit Keroma, Muar
Sumber: Majalah Sinar Rohani, November-Disember 2008m, Bil 55

Sunday, September 6, 2009

Kesan Sabar dalam Kehidupan Seharian

Tanpa kita semua sedari Ogos telah melabuhkan tirainya dan kini September pula menjelang tiba. Hari ini genaplah 16 hari umat Islam melakukan ibadah puasa. Diharapkan agar puasa kita pada kali ini mendapat lebih rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT hendaknya.

Dalam 'post' sebelum ini saya telah membincangkan mengenai Implikasi Sabar dalam Kehidupan Pelajar yang hanya memfokuskan kepada golongan penuntut ilmu sahaja. Pada kali ini pula saya akan berkongsi sedikit pandangan saya tentang kesan sabar dalam kehidupan seharian manusia secara amnya pula. Ditegaskan di sini bahawa setiap apa yang saya bincangkan adalah pandangan dan buah fikiran saya semata-mata kecuali jika saya nyatakan sumbernya. Sebarang kekeliruan dan permasalahan yang timbul harap dimaafi.


Sahabat sekalian,
Proses dalam kehidupan memerlukan kita berkomunikasi antara satu sama lain. Kita pasti tidak dapat melakukan sesuati aktiviti tertentu tanpa bantuan orang lain walau sejauh mana kita cuba untuk berdiri atas kaki sendiri. oleh itu, hubungan yang baik haruslah sentiasa dipupuk dan disemai antara setiap manusia tanpa mengira bangsa, harta, darjat atau rupa. Setiap orang harus dilayan selayaknya sebagai manusia kerana kita sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Mungkin ada di antara anda yang terfikir apa yang saya cuba sampaikan. Nah, inilah yang akan saya perjelaskan. Bagaimana sesuatu hubungan yang baik dapat disemai dan dieratkan jika tiada sikap sabar dalam diri manusia? Bagai saya sabar berfungsi untuk mengeratkan silaturrahim antara insan. Contohnya apabila kita berasa marah tentang sesuatu tetapi kita masih cuba bertenang agar tiada perkara buruk berlaku. Semua orang sudah maklum bahawa marah mempunyai potensi yang tinggi untuk menyebabkan kejadian buruk yang lain berlaku. Jika kita mengikut perasaan marah yang meruap-ruap tersebut pastinya pelbagai kata kesat akan kita hamburkan dan mungkin juga ada antara kita yang tercedera akibat tindakan yang diambil ketika sedang marah. Namun, Allah telah menganugerahkan sifat sabar dalam diri setiap umat manusia agar kita gunakan dengan sebaiknya. Selain itu, sikap toleransi juga dapat dipupuk dengan adanya pengamalan sabar dalam kehidupan. kita ambil contoh yang paling mudah. Apabila emak menyuruh pergi ke kedai untuk membeli sesuatu sedangkan kita masih punyai kerja atau urusan yang harus diselesaikan. Ada di antara kita yang pasti menolak atau ada juga yang mengikut kehendak emak tetapi sambil mengomel. Apabila keadaan ini berlaku, kita perlulah memikirkan apa yang telah dilakukan oleh emak unutk membesarkan kita. Emak tidak mengomel apabila berpenat lelah melahir dan menyusukan kita. Emak juga tidak mengabaikan kita apabila kita menangis minta disuapkan nasi atai ditukarkan lampin. Jadi mengapa kita harus bising-bising apabila disuruh emak melakukan kerja yang begitu mudah sedangkan selama kita hidup telah banyak urusan yang emaka terpaksa tangguhkan terlebih dahulu bagi melayan keranah kita. Di sinilah pentingnya sabar.


Selain itu, sabar juga dapat mendekatkan diri kita kepada Pencipta iaitu Allah SWT. Cuba kita lihat dalam konteks ibadah. Kita diwajibkan untuk bersolat lima waktu sehari semalam. Sesetengah orang berfikir bahawa solat amat membebankan kerana mengganggu urusan mereka seharian. Ada juga yang bersolat mengikut kemahuan, jika pada waktu tertentu dirasakan seperti ingin bersolat, maka dia akan bersolat. Jika tidak, terpaksalah tunggu hingga perasaan untuk bersolat timbul kembali. Bagi saya, mereka inilah golongan yang tidak mengaplikasikan konsep sabar dalam beribadah. Jika tidak, pasti ibadah tidak dirasakan sebagai bebanan malahan ia pasti sentiasa ditunggu-tunggu kehadirannya. Dengan tekun dan sabar dalam beribadah, kita akan merperbaik hubungan kita dengan Allah Taala. Bukankah orang yang tekun beribadah amat disayangi oleh-Nya? Jika kita tidak dapat melakukan ibadah sunat sekalipun cukuplah sekadar kita menjaga ibadah fardu. Apabila kita sudah terbiasa melakukan ibadah, pasti tiasa masalah lagi untuk kita melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain. Sesungguhya Allah menyukai ibadah yang sedikit tetapi dilakukan dengan berterusan dan untuk mememastikan agar ibadah kita sentiasa berterusan dan diterima Allah, marilah kita sama-sama bersabar dalam beribadah.


Kesan sabar juga dapat dilihat dalam konteks mengurangkan gejala sosial. Pada zaman ini, pelbagai isu sosial yang timbul akibat kurangnya kesedaran dalam diri manusia. Semua perkara dilakukan sesuka hati tanpa mengira batasan yang seharusnya tidak dilepasi. Masalah dadah, pergaulan bebas, rogol dan pencabulan seakan-akan telah menjadi suatu isu yang sudah sebati dalam masyarakat. Mengapa Allah telah menggariskan panduan dalam kehidupan kita yang terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah? Mengapa pemimpin menggubal undang-undang dalam negara yang diketuainya? Adakah semuanya dilakukan unutk membebankan manusia? Pastinya tidak. Peraturan dan undang-undang diadakan untuk memastikan manusia bertindak selayaknya sebagai manusia, tambahan pula kita telah dianugerahkan dengan akal yang membolehkan kita membezakan antara yang hak dan yang batil. Sabar dalam pergaulan contohnya, boleh difahami sebagai menjaga batas-batas pergaulan tidak kira apa jua jantina bagi membolehkan kita dapat mengawal nafsu. Apabila rakan-rakan melakukan perkara yang bertentangan denga norma kehidupa, kita tidaklah cenderung untuk melakukan perkara yang sama jika sifat sabar ada dalam diri. Fikirkan akibat yang didapati apabila ingin melakukan sesuatu perkara bukannya seperti kata pepatah 'sudah terjatuh baru nak terngadah'.


Seterusnya, sabar dapat meningkatkan produktiviti diri. Ada orang yang apabila dilanda ,asalah mudah benar emosinya terganggu dan sekaligus menjejaskan tugasan yang dilakukan. Segalanya dirasakan tidak kena kerana ketidakupayaan untuk tidak mencampurkan urusan peribadi dengan tugasan yang sedang dilakukan. Ini adalh masalah bagi kebanyakan orang kerana emosi kita sentiasa mempengaruhi tindakan kita dan akhirnya juga akan mempengaruhi emosi orang lain. Bayangkan jika kita datang ke tempat kerja denga perasaan marah-marah, pasti rakan sekrja tidak berani untuk bertegur sapa dengan kita. Apabila ketua menegur kesilapan kita, kita bertambah terasa hati sedangkan semuanya berpunca daripada diri kira sendiri. Kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan dalam waktu yang tertentu juga tidak dapat disiapkan kerana masa yang sepatutnya kita peruntukkan untuk melakukan tugas kita yang hakiki sebagai pekerja telah digunakan unutk melayan emosi kita yang tidak stabil.
Pernah suatu masa ketika saya masih bersekolah, jika ada guru yang pada suatu hari masuk kelas dengan muka yang masam mencuka dan tiba-tiba 'naik angin' dengan kesalahan pelajar yang kecil, pasti ada suara-suara dari meja pelajar yang lain mengatakan " cikgu ni mesti bergaduh dengan suami die ni, sebab tu la' bad mood' tak tentu pasal". Nah, saya rasa kebanyakan daripada kita juga pernah mengalami pengalaman yang sama seperti saya bukan? Pelajar tidak boleh disalahkan apabila meraka membuata kesimpulan yang sedemikian kerana seperti yang saya katakan sebentar tadi emosi kita pasti akan mempengaruhi orang lain di sekeliling kita. Sebaliknya, jika kita dapat bersabar dengan masalah yang melanda, kita pasti dapat menggembirakan orang lain dan prestasi kerja akan meningkat. Seorang pekerja yang bagus akan tetap melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan kerana mereka semua orang bekerja dengan bayaran. Apakah wang yang kita terima setiap bulan terjamin kehalalannya jika kita tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh? Jadi di sini bolehlah saya katakan ada kebenarannya jika kesabaran dapat meningkatkan produktiviti diri.

Sahabat sekalian, Allah Ta'ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya”. (Ali Imran: 200)

Daripada ayat di atas, apa yang kita boleh saya simpulkan adalah Allah menyuruh setiap hamba-Nya agar bersabar dalam melakukan perkara yang baik, meningkatkan kesabaran dan sentiasa bertaqwa kepada Allah. Dengan mengamalkan kesabaran InsyaAllah manusia akan berjaya. Sesungguhnya, kesabaran dapat meningkatkan ketahanan emosi.

Dalam konteks menghadapi musibah atau dugaan, kesabaran amatlah penting agar kita dapat menerima bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan setiap apa yang Allah tetapkan untuk kita sepanjang kehidupan ini adalah seadil-adil ketetapan. Alangkah menakjubkan perkara atau urusan orang mukmin, Allah SWT tidak menetapkan untuknya satu ketentuan apapun melainkan hal itu baik baginya. Ini tidak terjadi selain daripada orang mukmin. Dan bila dia dianugerahi dengan kecukupan rezeki dan nikmat, ia bersyukur dan itu baik baginya. Dan bila ia ditimpa kesempitan atau kesusahan ia bersabar dan itu baik baginya. Di sini, saya ingin berkongsi kisah tentang dapatan yang saya temui ketika mencari contoh bagaimana kesabaran dapat meningkatkan ketahanan emosi:

Kisah Nabi Ayub a.s. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41)

Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub a.s.terkena kesusahan dan keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya.

Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub a.s., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai.

Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya.

Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya.

Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub a.s.terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub a.s.dengan gangguan fizikal.

Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti.

Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu.

Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah.

Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka.

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub a.s. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub a.s. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya:

"Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi.

"Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya.....(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84)

Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa (rayuan) Nabi Ayub a.s. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub a.s. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpamcar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya.

Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda.

Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan.

Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s. berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya

(Petikan dari Harakah Bil.1338)

Sumber: http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=24



Daripada kisah Nabi Ayub ini, kita haruslah mengambil pengajarannya tentang bagaimana kesabaran seorang Nabi berjaya memulihkan semangatnya dengan berdoa kepada Allah apabila ditimpa musibah. Apabila ketenangan dusuburkan dalam diri, maka jika berlaku lagi perkara-perkara yang tidak diingini kita pasti boleh mengatasinya dan segalanya akan menjadi lebih mudah. Apa yang penting, kesabaran haruslah dipupuk subur dalam diri jika kita mahu berubah dan menjadi insan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Saturday, August 29, 2009

Implikasi Sabar Terhadap Kehidupan Pelajar




Assalamualaikum sahabat sekalian,
Proses pembelajaran adalah suatu proses yang tidak akan berakhir selagi kita hidup di dunia ini. Nabi Muhammad SAW sendiri menggesa kita supaya menuntu ilmu hingga ke negeri China. Apa yang baginda maksudkan bukanlah supaya kita melanjutkan pelajaran di China tetapi ilmu itu perlu dicari walau di mana sahaja di dunia ini. Baginda menyebut negeri China kerana pada waktu itu jarak antara Arab dan China bukanlah dekat. tetapi dengan adanya kemajuan teknologi pengangkutan pada hari ini, proses menuntut ilmu menjadi lebih mudah.


Sebagai seorang penuntut ilmu, atau pun lebih tepat lagi sebagai seorang pelajar, kita semua menghadapi pelbagai masalah yang tidak pernah jemu menerjah kehidupan kita sepanjang proses pembelajaran berlaku. dalam konteks kehidupan seorang insan, pasti kesan sabar dapat dilihat daripada pelbagai aspek. namun pada kali ini saya hanya ingin memfokuskan kesan sabar terhadap kehidupan seorang pelajar.



Perkara pertama yang ingin saya bincangkan di sini ialah kesan sabar ketika menuntut ilmu. sebelum saya nyatakan hikmahnya, moleklah kiranya jika saya nyatakan dahulu masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh kebanyakan pelajar atau diri saya sendiri dalam proses pembelajaran. bagi saya perkara utama yang saya kira amat sukar adalah memahami sesetengah ilmu yang diajar oleh pensyarah-pensyarah. sebagai contoh, saya adalah pelajar major Matematik di institut perguruan. segala formula dan pengiraan bukanlah sesuatu yang mudah untuk difahami, apatah lagi ketika waktu pertama kali belajar tentangnya. perasaan takut, tidak tenteram dan sedih pasti terselit di hati saya apabila berlaku keadaan sedemikian. Namun, apabila saya tenangkan hati, saya fikir mungkin itu adalah dugaan yang Allah berikan kepada saya supaya saya berusaha lebih keras untuk memperoleh kejayaan. oleh itu, saya memperbanyakkan latihan dan sering bertanyakan soalan kepada rakan-rakan dan pensyarah supaya saya tidak terus tengggelam dalam ketidakfahaman saya sendiri. kesannya, sabar membolehkan saya memahami apa yang saya pelajari dan tidak berputus asa apabila dugaaan menimpa. sabar juga membolehkan saya melihat sesuatu daripada sudut pandangan yang lain iaitu mungkin itu caranya Allah membalas doa saya yang mengharapkan kejayaan di dunia dan akhirat. Allah mengabulkan doanya dalam pelbagai cara dan saya tetap redha dengan segala ketentuannya.


Selain itu, kesan sabar juga dapat dilihat dalam pergaulan kita seharian. dalam konteks seorang pelajar, pastilah rakan-rakan dan guru merupakan insan yang sering kita temui ketika menuntut ilmu. pergaulan antara rakan ada pasang surutnya. kadangkala segalanya indah belaka dan hubungan kita sesama rakan berjalan dengan lancar sekali tanpa satu isu pun yang membuatkan kita bertelagah. namun, keindahan bukanlah perkara yang kekal. perselisihan faham bisa terjadi apabila sesuatu perkara tidak dibincangkan secara berhemah. apabila perkara sebegini berlaku, perkara pertama yang kita perlu lakukan ialah bersikap positif dan apa yang penting ialah SABAR. sabar boleh diterjemahkan melalui pertuturan mahupun perbuatan. melalui perbuatan, kita seharusnya tidak boleh menarik muka ataupun terus menjauhkan diri daripada rakan-rakan ketika timbulnya masalah. sebaliknya, kita haruslah bersangka baik dan menunjukkan riak wajah yang tenang agar keadaan tidak menjadi lebih genting. biarpun rakan kita sendiri tidak menunjukkan sikap yang positif namun kita adalah orang yang harus memulakan dan mengekalkannya sekiranya perselisihan faham berlaku. melalui pertuturan pula, jangan sesekali menghamburkan kata-kata kesat kepada orang lain kerana sesungguhnya lidah amat tajam, ia bisa melukakan hati sesiapa pun apabila kata-kata yang tidak manis dilontarkan.sebaiknya, cuba adakan pertemuan dan berbincang tentang masalah yang dihadapi sebelum ia menjadi lebih rumit. paling penting, jangan sesekali melatah apabila kita dituduh melakukan sesuatu. ambil masa untuk bertenang dan berfikir mengapa perkara sedemikian boleh berlaku. kesannya, hubungan dan pergaulan sesama rakan dan guru dapat dieratkan dan permusuhan dapat dielakkan. dengan ini, dapatlah dilihat bahawa sabar dalam pergaulan membolehkan pelajar mengikut apa yang telah Nabi kita sabdakan iaitu seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.


seterusnya, sabar juga dapat mengelakkan tekanan. Beberapa tahun yang lalu, kita sering digemparkan dengan berita pelajar membunuh diri kerana mendapat keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan. Walaupun keputusan mereka tidaklah seteruk mana dan adakalanya boleh kita anggap cemerlang namun mungkin sasaran mereka tidak tercapai. itulah yang menyebabkan mereka membunuh diri kerana malu, hampa dan kecewa. ada juga yang tidak dapat menerima tekanan daripada pihak keluarga yang begitu berharap supaya mereka mendapat keputusan yang diinginkan. sesungguhnya sabar merupakan penyembuh kepada segala permasasalahan dan ketidaktenteraman jiwa. kita harus percaya kepada qada' dan qadar dengan meyakini segala yang berlaku mempunyai hikmah tersembunyi yang mungkin tidak dapat kita lihat dalam masa yang singkat. sekali gagal bukanlah bererti gagal selamanya. Dengan kegagalan, kita akan berusaha untuk bangkit semula dan menjadikan diri kita lebih kuat daripada sebelumnya. apabila kita tidak putus asa dan terus berusaha tanpa jemu, sudah pasti kejayaan akan datang kepada kita. oleh itu, jelaslah bahawa sabar membolehkan seorang pelajar untuk bertenang dan bangkit semula daripada sebuah kegagalan. pelajar juga tidak akan dipandang sebagai golongan yang rendah ketahanan jiwanya apabila mereka pempraktikkan sifat sabar dalam kehidupan dengan tidak mengambil jalan singkat untuk menghilangkan tekanan.


Masalah kewangan merupakan salah satu penyumbang mengapa kebanyakan anak-anak tidak dapat meneruskan pelajaran. walaupun wang tidak dapat membeli segala benda di dunia ini, namun ia tetap berkuasa dalam menentukan perjalanan hidup ini. dikhabarkan bahawa ramai pelajar terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi terlibat dengan gejala tidak bermoral semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membiayai pembelajaran mereka akibat kesempitan wang. malahan semalam saya terbaca mengenai satu berita di akhbar tempatan bagaimana seorang wanita berumur 40 tahun ditinggalkan suaminya yang berusia 20 an selepas lelaki tersebut menamatkan pengajiannya di universiti. lelaki tersebut hanya berkahwin dengan isterinya agar pelajarannya ditanggung. bak kata pepatah, habis manis sepah dibuang, wanita tersebut ditinggalkan dan barang kemasnya juga lesap dilarikan suaminya yang hilang entah ke mana. ini adalah contoh yang begitu memalukan dan membuatkan golongam mahasiswa dipandang sebagai golongan yang rendah akhlaknya, sama seperti sesetengah remaja berpeleseran yang tidak ke universiti. jika isu ini dipandang daripada sudut yang lain, saya berpendapat pasti masalah sedemikian rupa tidak akan berlaku jika setiap pelajar mengamalkan pengetahuan agama yang mereka miliki. masalah kewangan bukanlah suatu beban yang menyebabkan kita bertindak mengikut hawa nafsu. terdapat banyak lagi pekerjaan halal lain yang membolehkan pelajar mendapatkan wang bagi meneruskan pelajaran. walaupun wang yang didapati tidaklah selumayan mana namun ia sudah cukup untuk membolehkan pelajaran kita diteruskan tanpa terus menambah dosa yang sedia ada sekiranya kita terjebak dalam pekerjaan yang tidak bermoral.

Ahlan Wasahlan Ya Ramadan

Alhamdulillah, buat kesekian kalinya kitamasih diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menikmati Ramadan pada tahun ini. ini adalah nikmat yang tidak patut kita sia-siakan yang mana kita digalakkan melakukan pelbagai amal ibadat untuk mendapat keredhaan Allah. Ramadan dikatakan sebagai bulan yang pemurah kerana setiap amalan yang kita lakukan akan mendapat 7kali ganjaran pahala berbanding bulan-bulan yang lain.

sahabat sekalian, amatlah bersesuaian sekali jika dikatakan bulan Ramadan sebagai bulan untuk menguji kesabaran umat Islam. kita diwajibkan melakukan rukun Islam ketiga ini untuk membuktikan betapa kita dapat mengawal hawa nafsu. ketika berpuasa, umat Islam tidak boleh makan , minum, bercakap, melihat atau mendengar perkara-perkara mungkar ataupun melakukan apa jua perkara yang boleh membatalkan puasa. pada bulan-bulan yang lain, syaitan dan nafsu merupakan dua faktor yang boleh membuatkan kita terjebak ke dalam lembah kehinaan tetapi pada bulan Ramadan kita ditinggalkan hanya bersama nafsu. Walaupun kedengaran tidaklah seberapa namun jihad melawan hawa nafsu adalah yang paling sukar sekali.

apabila kita dapat bersabar dengan menahan lapar sehingga tibanya waktu berbuka puasa, kita telah membantu sistem penghadaman untuk berhenti bekerja seketika dan membolehkan tubuh berfungsi dengan lebih baik. Hikmahnya, masalah obesiti, diabetes, darah tinggi dan apa jua penyakit yang disebabkan oleh ketidakseimbangan gaya pemakanan dapat dikurangkan..kita juga harus melawan nafsu ketika tibanya waktu untuk bersahur. kebanyakan daripada kita mengelak unutk bangun dari tidur kerana malas dan terlalu sayangkan tidur. sebenarnya, apabila kita dapat membuang perasaan malas dan bangun untuk bersahur, kita dapat memberikan tenaga kepada tubuh badan untuk bertahan tanpa makanan sepanjang hari kita berpuasa. selain itu, waktu sahur jugaboleh kita gunakan untuk melakukan solat ataupun membaca al-Quran kerana kita disunatkan melewatkan sahur. Solat Subuh juga dapat dilakukan sebaik sahaja masuk waktu dan ini membolehkan kita melatih diri untuk menyegerakan ibadah solat.

Selain itu, konteks puasa bukan sahaja terhad kepada menahan puasa sahaja tetapi juga untuk menahan diri dan mengawal nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa. kita perlu mengawal diri daripada mengatakan perkara yang tidak baik dan memperbanyakkan amal ibadah. di sini saya ingin sertakan satu contoh berdasarkan apa yang telah berlaku kepada saya petang tadi. ceritanya bermula apabila ibu menyuruh saya dan adik ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka puasa. Memandangkan meter minyak motor saya hampir mendekati 'empty', saya terpaksa ke stesen minyak untuk mengisi minyak terlebih dahulu, takut-takut motor mati di tengah jalan dan ibu pula kempunan kuih kegemarannya. sesam[ainya di stesen minyak tersebut, ramai orang telah menunggu giliran pelayan di pam minyak untuk mengisi minyak ke dalam tangki minyak. ketika saya tiba, tidaklah terlalu ramai orang yang menunggu. pelayan di pam tersebut adalah wanita dan kebanyakan orang yang menunggu adalah lelaki, kecuali saya dan seorang lagi wanita. apa yang saya kesali ialah saya dilayan bagai endah tak endah oleh pelayan tersebut dan biarpun saya telah menunggu lama dia tetap mendahulukan pelanggan lelaki yang datang terkemudian daripada saya.

apa yang saya cuba sampaikan ialah jika bukan kerana saya sedang berpuasa dan tetap menahan sabar sudah pasti saya akan marah-marah apabila dilayan sebegitu rupa. saya asyik mengelap peluh yang membasahi muka kerana menahan marah. dalam perjalanan pulang dari bazar Ramadan, adik saya mengatakan dia pening kepala kerana terpaksa menunggu lama di tengah panas ketika menunggu giliran di stesen minyak tersebut jadi terpaksalah saya ke kedai untuk membelikannya pelekat kepala.

Sesungguhnya, sabar di bulan Ramadan itu banyak hikmahnya. selain menjaga amal ibadah kita sendiri, kita juga dapat memastikan hubungan sesama Islam sentiasa terjaga, sama seperti apa yang telah berlaku kepada saya. segala yang baik datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan saya sendiri. Hakikatnya, semua perkara datangnya daripada Allah SWT.

Sunday, August 16, 2009

Cara-cara Memupuk Sabar

Sabar. Sabar adalah suatu sifat mulia. Bayangkan betapa sulitnya memiliki sifat yang satu ini. Saya sendiri masih mengalami kesulitan untuk benar-benar memiliki sifat ini.

Bagaimana caranya menjadi sabar?
Menurut saya sabar adalah suatu sifat yang tidak boleh dimiliki begitu saja. Ia memerlukan proses yang panjang dan bertahap. Sabar harus dipupuk. Tidak boleh hanya dengan berniat: "okay, esok saya akan menjadi orang yang sabar", maka *triiinngg* esoknya saya adalah orang yang sabar.
Jadi yang boleh kita lakukan adalah memupuk sifat sabar ini. Kita hanya boleh mengusahakan bahawa dari hari ke hari kita boleh lebih bersabar dalam menghadapi segala sesuatu. Pada saat diri kita kesal dengan sesuatu dan kemudian kita mengungkapkan kekesalan itu dengan suatu cara.. mengomel, misalnya... atau menjadi geram dan kemudian marah-marah dengan orang lain... pada saat itu pulalah harusnya kita sadar bahawa kita 'masih kurang sabar'.
Jadi seharusnya bagaimana kita harus bereaksi?

Saya sendiri tidak tahu jawapannya. Itu bergantung dari masing-masing individu. Tapi yang boleh saya lakukan hanyalah istighfar, dan mengingatkan diri sendiri untuk sabar.. lebih sabar.. dan lebih sabar.
Namun, mengungkapkan sesuatu adalah lebih mudah daripada melakukannya.
Saya masih sering mendapati diri saya geram dan marah-marah kerana sesuatu perkara. Rasa geram itu wajar, marah juga wajar. Tapi sejauh mana kita membiarkan hal itu menguasai diri kita? Disitulah letak perbezaannya antara orang-orang yang sabar, agak sabar, sedikit sabar, kurang sabar, dan tidak sabar.
Jadi, seberapa penyabarkah Anda?
Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
(Surah al-Asr ayat 1-3)

Perkara yang dapat dilakukan untuk memupuk sikap sabar:

1. Melatih diri untuk bersifat baik dan positif spt lemah lembut, baik hati, sabar, tenang dlm menghadapi apa2 situasi.

2. Hendaklah seseorang itu menguatkan jiwanya ketika mana dia hendak marah, kemudian igt tentang akibat buruk marah dan mengingati kelebihan org yg menahan marah dan memaafkn kesalahan org lain.


3. Meminta perlindungan kepada Allah Ta’ala daripada syaitan yg direjam.

4. Hendaklah seseorang itu menguatkn jiwanya ketika mana dia hendak marah, kemudian ingat tentang akibat buruk marah dan mengingati kelebihan org yg menahan marah dan memaafkn kesalahan org lain.


5. Meminta perlindungan kepada Allah Ta’ala daripada syaitan yg direjam.

6. Berwudhuk

(http://akhisalman.blogspot.com/2008/11/cara-menahan-marah.html)

How patience are you???

Tuesday, August 11, 2009

She Who Loves Roses Must Be Patient and Not Cry Out When She Is Pierced by Thorns- Olga Brouman

Sedang saya mencari mutiara kata mengenai sabar, saya akhirnya terpikat pada kata-kata di atas. Ia bermaksud jika seseorang wanita menyukai bunga mawar, maka dia seharusnya tidak menangis apabila jarinya tercucuk duri. Mengapa Olga Brouman menggunakan mawar untuk menyampaikam maksudnya mengenai kesabaran? Bagi saya, memanglah lumrah seorang wanita untuk menyukai bunga, terutamanya bunga mawar yang mempunyai bau yang harum dan warna-warna yang cantik. Jika kita hendak memberikan sejambak bunga kepada seseorang sekalipun, kita pasti akan memilih sesuatu warna atau kombinasi warna tertentu untuk menyampaikan maksud yang diigini.

kembali kepada maksud kata-kata di atas, apa yang saya fahami adalah apabila kita menyukai atau ingin mencapai sesuatu, kita tidak seharusnya mengalah apabila ditimpa kesusahan atau musibah. itulah harga yang perlu dibayar bagi mendapatkan apa yang kita mahukan. sifat putus asa tidak seharusnya ada dalam diri kita sebaliknya sifat sabarlah yang harus disemaisuburkan. jika kita terlalu mudah mengalah maka apa sahaja yang kita hajatkan pasti tidak akan tercapai dan sampai bila-bila pun kita tidak akan maju.
kesimpulannya, sabar itu memang perlu bagi mendorong kita mendapatkan sesuatu. jika kita sudah berusaha tetapi masih tidak membuahkan hasil, anggaplah ia sebagai ujian yang diberika Allah untuk menguji keimanan kita. yakinlah bahawa setiap perkara yang kita lakukan pasti akan mendapat balasannya sama ada baik atau buruk, sesuai dengan apa yang kita lakukan. sesungguhnya, Allah itu Maha Adil terhadap semua hambanya....

Dugaan penyeri kehidupan

Tatkala dugaan datang menimpa, tatkala hati diruntun kecewa, kesedihan dan kemurungan menyelubungi diri..Air mata menjadi peneman yang setia di kala kesunyian. Tak terkira banyaknya butir-butir manik yang jatuh ke bumi. Kita rasakan keseorangan dan terkapai tanpa pautan. Terasa betapa nipisnya keimanan kita. Hanya dengan sedikit diri diuji, kita sudah melatah dan berputus asa.


Wahai sahabatku.
Cuba kita lihat sirah Rasulullah yang tidak pernah sepi dengan ujian dan dugaan. Bagaimana tegar dan tabahnya hati baginda bila diuji. Seorang pemimpin negara yang hidup dalam bersederhana dan dihujani dengan pelbagai tohmahan. Bagaimanana tabah dan kentalnya nabi kita yang berjuang menegakkan dan memperjuangkan syiar Islamiah di muka bumi ini. Nyawa menjadi taruhan...

Bila kita lihat zaman sekarang. Betapa ramainya manusia yang tertekan dan menyalahkan takdir yang menimpa diri mereka. Kematian orang yang tersayang kadangkala boleh menyebabkan seseorang itu hilang pertimbangan diri. Akhirnya, lihatlah betapa ramai yang menjadi penghuni di Tg. Rambutan atau wad orang sakit jiwa.
Wahai sahabat sekalian.

Marilah kita perbaharui keimanan kita dan menyemai sikap sabar dalam diri bagi memastikan kehidupan kita sentiasa mendapat rahmatnya. Ingatlah bahawa setiap musibah yang menimpa itu adalah tanda kasih Ilahi kepada hambanya.

Hidup ini adalah untuk bersyukur...bersyukur pada orang yang menyakiti kerana dialah orang yang menabahkan hati kamu..pada orang yang tidak mengendahkan kamu kerana dialah yang memupuk berdikari..pada yang menjatuhkan kamu kerana dia yang memperhebat kemampuanmu...pada yang mengujimu kerana dia yang memberi peluang mujahadahmu..pada yang menyeksa kamu kerana dia yang menguji kesabaran kamu. Bersyukur dengan segala ujianNya kerana itu tanda tarbiah dari Yang Maha Esa.

Monday, August 10, 2009

Sabar: Suatu Pengenalan

Kita selalu sahaja mendengar perkataan sabar. Apabila dimarahi kawan-kawan, kita akan berkata dalam hati supaya sabar. Bila terpaksa menunggu berjam-jam lamanya pun kita perlu sabar. Kalau tidak kerana sabar, sudah pasti bermacam-macam perkara tidak diingini berlaku dalam hidup kita ni. Tapi adakah kita betul-betul menghayati makna sabar sebagaimana lazimnya kita menyebut perkataan itu sendiri??

Buat pengetahuan semua, sabar dari sudut bahasa ialah menahan. Dari sudut istilah pula, sabar membawa maksud kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila munculnya sesuatu. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, sabar ialah betah menahan penderitaan, tidak terburu-buru dan tenang. Selain itu, sabar adalah menahan diri dan membawanya kepada yang dituntut oleh syara’ serta menghindarnya dari yang dilarangnya. Jadi sabar ialah suatu kekuatan daya yang mendorong jiwa untuk menunaikan kewajipan. Disamping itu sabar adalah suatu kekuatan atau daya yang menghalangi seseorang untuk melakukan kejahatan.

DALAM sebuah hadis Qudsi Allah berfirman:

“Apabila telah Aku berikan musibah kepada salah seorang hamba-Ku pada badannya,hartanya, atau anaknya, kemudian dia menerimanya dengan sabar yang sempurna, Aku merasa malu untuk menegakkan timbangan baginya pada hari kiamat atau membukakan buku catatan amal ibadahnya.”
(HR. Dailami, Al Hakim dan Tarmizi)


Apabila seseorang itu menghadapi cubaan dan penderitaan itu dengan redha, ikhlas dan mencari jalan keluar dengan cara yang sebaik-baiknya, tidak mengeluh, tidak gelisah dan sebagainya, maka Allah SWT pasti akan memudahkan baginya urusan hisabnya di hari akhirat. Allah akan segera membalas segala pahalanya, memberkati kehidupannya sehingga timbangannya tidak berat kepada kejahatan, tetapi akan berat kepada ketaatan dan pahala, yang kesudahannya akan masuk syurga. Begitu juga Allah SWT tidak akan memberikan buku catatan amalnya serta membukakan rahsianya dihadapan orang ramai.

Semuanya ini sebagai lukisan bahawa secara kiasan Allah SWT menerima apa yang dilakukan oleh hamba yang sabar dan beramal shaleh dengan sambutan yang baik dan memberikan kurnia keredhaan kepadanya.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al - Muddathir, ayat 7 maksudnya: Dan bagi Tuhanmu, hendaklah kamu bersabar. Ini adalah antara ayat al-Quran yang terawal telah Allah turunkan kepada Nabi Muhammad menerangkan betapa Islam mementingkan sifat sabar dalam diri setiap Muslim.

Kita dituntut sabar dalam melaksanakan perintah agama seperti menuntut ilmu, berbuat baik kepada ibu bapa, mendirikan solat, mengerjakan puasa dan sebagainya. Sabar juga dituntut dalam menjauhi larangan agama seperti berzina, mencuri, menipu, mengharapkan pertolongan dari tangkal, mendekati ilmu sihir dan sebagainya.

Sebagai seorang mahasiswa, kita sering sahaja dipenuhi dengan tugasan, tidak kiralah di dalam kuliah mahupun tugasan luar yang menuntut kita membahagikan masa dengan sebaiknya agar segalanya berjalan lancar. Bagi diri saya sendiri, kadangkala tugasan juga saya fikir menjadi suatu bebanan yang sebolehnya saya cuba elakkan. Kalau waktu lapang tanpa tugasan, duni terasa begitu menyeronokkan. Boleh lah saya 'berchatting' dan melayari internet sepanjang masa.Tapi apabila memikirkan tanggungjawab saya sebagai pelajar dan kesedaran tentang kewajipan menuntut ilmu, saya tabah dan sabarkan jua hati untuk melakukan segala tugasan yang diberikan. Kalau tidak membuat tugasan, alamatnya fail lah saya.

Berkenaan dengan sifat sabar, Allah telah menyebutkan di dalam Al Qur’an tidak kurang dari lapan puluh kali, dalam bermacam bentuk, untuk menunjukkan betapa tinggi nilai dan keutamaanya.

Banyak orang yang menyangka, bahawa sabar bererti merendahkan diri dan penyerahan kepada keadaan, membiarkan diri hanyut dalam keadaan itu, atau menghentikan usaha tanpa ikhtiar mencari jalan keluar yang baik tanpa memperbaiki dan menguatkan amal perbuatan dan berlaku redha terhadap apa yang terjadi biar bagaimanapun bentuk dan macamnya.

Pengertian sabar seperti ini tidaklah tepat, sebab yang dinamakan sabar ialah menghadapi musibah (cubaan atau ujian) dengan cara yang baik, berikhtiar mencari jalan keluar dengan cara yang baik pula dan membiasakan diri melakukan amal perbuatan yang shaleh dan usaha yang terpuji, sambil menjadikan pengalaman itu suatu dorongan untuk mempunyai kemahuan yang kuat, keimanan dan keyakinan yang penuhi istiqamah.


Sesungguhnya, sabar itu memang penyelamat keadaan. Jadinasihat saya kepada kawan-kawan , jangan mudah naik perasaan amarah dan bengang bila masalah datang menimpa. Banyak-banyakkanlah bersabar kerana sabar itu memberi ruang kepada kita untuk berfikir dan bertindak sewajarnya. Wallahhualam.