Sumber: Nuri Supian, Majalah Mingguan Wanita, Bil 1322, 20-26 Mac 2009
Menghadapi dua kehilangan orang tersayang dalam masa berturut bukan sahaja membuat hati saya tidak bermaya, tetapi menyebabkan minda saya menerawang jauh. Saya bagaikan terkesima. Bukan tidak redha dengan ketentuan Allah tetapi kenangan bersama orang-orang tersayang ini membuat hati mudah tersentuh dan air mata pun mudah mengalir.Namun yang pergi tetap pergi. Mereka tidak akan kembali menemui saya dan saudara mara yang ditinggalkan. Kenanganlah yang menjadi pengubat rindu.
Pengalaman pahit ini biarpun sukar untuk diucapkan dengan kata-kata tetapi hati yang merana pasti tidak dapat berbohong. Ketika saya kehilangan ayah dua tahun lalu, dunia terasa begitu sunyi. Kegembiraan bagaikan direntap tetapi bapa saudara yang menjadi wakil ayah mampu menceriakan semula kehidupan. Tetapi akhirnya dia juga menemui Tuhan. Saya kembali sepi. Wajah dan tawanya terbayang di mata. Nasihatnya yang tidak pernah jemu-jemu diasak ke minda ini masih terdengar-dengar di telinga.
Belum reda menahan pilu atas pemergiannya, ujian datang lagi. Sehari selepas kehilangan besar itu, kami kehilangan lagi. Anak saudara yang sedang diambang remaja, beberapa bulan lagi akan melangkah usia 21 tahun pula dipanggil Tuhan. Tangisan tidak mungkin mampu lagi mengembalikan mereka. Mereka telah kembali ke Penciptanya.
Saya belajar menjadi tabah dan menerima ketentuan Allah ini. Cepat ataupun lambat, kita pun suatu hari nanti akan ke sana jua. Sementara masih di sini marilah kita sama-sama berusaha untuk memperbaiki diri. Memberikan yang terbaik untuk kehidupan kita dan kehidupan orang lain. Kita ambil kebaikan daripada orang Jepun yang menganggap bahawa kehidupan ini bagaikan bunga sakura yang kehidupannya hanya seminggu. Kerana itu mereka berlumba-lumba untuk maju dan memperbaiki diri menjadi lebih baik setiap hari. Seperti bunga sakura itu,ia menjadikan kehidupanya yang singkat untuk mengindahkan alam ini dengan kecantikan dan keharumannya. Kita pun harus hidup seperti itu. Hidup dengan penuh kebaikan dan kemuliaan.
Luruskan pedoman dan tetapkan iman. Tuhan kita hanya satu dan kepadanya kita akan menuju.
0 comments:
Post a Comment