Sunday, September 6, 2009

Kesan Sabar dalam Kehidupan Seharian

Tanpa kita semua sedari Ogos telah melabuhkan tirainya dan kini September pula menjelang tiba. Hari ini genaplah 16 hari umat Islam melakukan ibadah puasa. Diharapkan agar puasa kita pada kali ini mendapat lebih rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT hendaknya.

Dalam 'post' sebelum ini saya telah membincangkan mengenai Implikasi Sabar dalam Kehidupan Pelajar yang hanya memfokuskan kepada golongan penuntut ilmu sahaja. Pada kali ini pula saya akan berkongsi sedikit pandangan saya tentang kesan sabar dalam kehidupan seharian manusia secara amnya pula. Ditegaskan di sini bahawa setiap apa yang saya bincangkan adalah pandangan dan buah fikiran saya semata-mata kecuali jika saya nyatakan sumbernya. Sebarang kekeliruan dan permasalahan yang timbul harap dimaafi.


Sahabat sekalian,
Proses dalam kehidupan memerlukan kita berkomunikasi antara satu sama lain. Kita pasti tidak dapat melakukan sesuati aktiviti tertentu tanpa bantuan orang lain walau sejauh mana kita cuba untuk berdiri atas kaki sendiri. oleh itu, hubungan yang baik haruslah sentiasa dipupuk dan disemai antara setiap manusia tanpa mengira bangsa, harta, darjat atau rupa. Setiap orang harus dilayan selayaknya sebagai manusia kerana kita sentiasa memerlukan antara satu sama lain. Mungkin ada di antara anda yang terfikir apa yang saya cuba sampaikan. Nah, inilah yang akan saya perjelaskan. Bagaimana sesuatu hubungan yang baik dapat disemai dan dieratkan jika tiada sikap sabar dalam diri manusia? Bagai saya sabar berfungsi untuk mengeratkan silaturrahim antara insan. Contohnya apabila kita berasa marah tentang sesuatu tetapi kita masih cuba bertenang agar tiada perkara buruk berlaku. Semua orang sudah maklum bahawa marah mempunyai potensi yang tinggi untuk menyebabkan kejadian buruk yang lain berlaku. Jika kita mengikut perasaan marah yang meruap-ruap tersebut pastinya pelbagai kata kesat akan kita hamburkan dan mungkin juga ada antara kita yang tercedera akibat tindakan yang diambil ketika sedang marah. Namun, Allah telah menganugerahkan sifat sabar dalam diri setiap umat manusia agar kita gunakan dengan sebaiknya. Selain itu, sikap toleransi juga dapat dipupuk dengan adanya pengamalan sabar dalam kehidupan. kita ambil contoh yang paling mudah. Apabila emak menyuruh pergi ke kedai untuk membeli sesuatu sedangkan kita masih punyai kerja atau urusan yang harus diselesaikan. Ada di antara kita yang pasti menolak atau ada juga yang mengikut kehendak emak tetapi sambil mengomel. Apabila keadaan ini berlaku, kita perlulah memikirkan apa yang telah dilakukan oleh emak unutk membesarkan kita. Emak tidak mengomel apabila berpenat lelah melahir dan menyusukan kita. Emak juga tidak mengabaikan kita apabila kita menangis minta disuapkan nasi atai ditukarkan lampin. Jadi mengapa kita harus bising-bising apabila disuruh emak melakukan kerja yang begitu mudah sedangkan selama kita hidup telah banyak urusan yang emaka terpaksa tangguhkan terlebih dahulu bagi melayan keranah kita. Di sinilah pentingnya sabar.


Selain itu, sabar juga dapat mendekatkan diri kita kepada Pencipta iaitu Allah SWT. Cuba kita lihat dalam konteks ibadah. Kita diwajibkan untuk bersolat lima waktu sehari semalam. Sesetengah orang berfikir bahawa solat amat membebankan kerana mengganggu urusan mereka seharian. Ada juga yang bersolat mengikut kemahuan, jika pada waktu tertentu dirasakan seperti ingin bersolat, maka dia akan bersolat. Jika tidak, terpaksalah tunggu hingga perasaan untuk bersolat timbul kembali. Bagi saya, mereka inilah golongan yang tidak mengaplikasikan konsep sabar dalam beribadah. Jika tidak, pasti ibadah tidak dirasakan sebagai bebanan malahan ia pasti sentiasa ditunggu-tunggu kehadirannya. Dengan tekun dan sabar dalam beribadah, kita akan merperbaik hubungan kita dengan Allah Taala. Bukankah orang yang tekun beribadah amat disayangi oleh-Nya? Jika kita tidak dapat melakukan ibadah sunat sekalipun cukuplah sekadar kita menjaga ibadah fardu. Apabila kita sudah terbiasa melakukan ibadah, pasti tiasa masalah lagi untuk kita melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain. Sesungguhya Allah menyukai ibadah yang sedikit tetapi dilakukan dengan berterusan dan untuk mememastikan agar ibadah kita sentiasa berterusan dan diterima Allah, marilah kita sama-sama bersabar dalam beribadah.


Kesan sabar juga dapat dilihat dalam konteks mengurangkan gejala sosial. Pada zaman ini, pelbagai isu sosial yang timbul akibat kurangnya kesedaran dalam diri manusia. Semua perkara dilakukan sesuka hati tanpa mengira batasan yang seharusnya tidak dilepasi. Masalah dadah, pergaulan bebas, rogol dan pencabulan seakan-akan telah menjadi suatu isu yang sudah sebati dalam masyarakat. Mengapa Allah telah menggariskan panduan dalam kehidupan kita yang terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah? Mengapa pemimpin menggubal undang-undang dalam negara yang diketuainya? Adakah semuanya dilakukan unutk membebankan manusia? Pastinya tidak. Peraturan dan undang-undang diadakan untuk memastikan manusia bertindak selayaknya sebagai manusia, tambahan pula kita telah dianugerahkan dengan akal yang membolehkan kita membezakan antara yang hak dan yang batil. Sabar dalam pergaulan contohnya, boleh difahami sebagai menjaga batas-batas pergaulan tidak kira apa jua jantina bagi membolehkan kita dapat mengawal nafsu. Apabila rakan-rakan melakukan perkara yang bertentangan denga norma kehidupa, kita tidaklah cenderung untuk melakukan perkara yang sama jika sifat sabar ada dalam diri. Fikirkan akibat yang didapati apabila ingin melakukan sesuatu perkara bukannya seperti kata pepatah 'sudah terjatuh baru nak terngadah'.


Seterusnya, sabar dapat meningkatkan produktiviti diri. Ada orang yang apabila dilanda ,asalah mudah benar emosinya terganggu dan sekaligus menjejaskan tugasan yang dilakukan. Segalanya dirasakan tidak kena kerana ketidakupayaan untuk tidak mencampurkan urusan peribadi dengan tugasan yang sedang dilakukan. Ini adalh masalah bagi kebanyakan orang kerana emosi kita sentiasa mempengaruhi tindakan kita dan akhirnya juga akan mempengaruhi emosi orang lain. Bayangkan jika kita datang ke tempat kerja denga perasaan marah-marah, pasti rakan sekrja tidak berani untuk bertegur sapa dengan kita. Apabila ketua menegur kesilapan kita, kita bertambah terasa hati sedangkan semuanya berpunca daripada diri kira sendiri. Kerja-kerja yang sepatutnya disiapkan dalam waktu yang tertentu juga tidak dapat disiapkan kerana masa yang sepatutnya kita peruntukkan untuk melakukan tugas kita yang hakiki sebagai pekerja telah digunakan unutk melayan emosi kita yang tidak stabil.
Pernah suatu masa ketika saya masih bersekolah, jika ada guru yang pada suatu hari masuk kelas dengan muka yang masam mencuka dan tiba-tiba 'naik angin' dengan kesalahan pelajar yang kecil, pasti ada suara-suara dari meja pelajar yang lain mengatakan " cikgu ni mesti bergaduh dengan suami die ni, sebab tu la' bad mood' tak tentu pasal". Nah, saya rasa kebanyakan daripada kita juga pernah mengalami pengalaman yang sama seperti saya bukan? Pelajar tidak boleh disalahkan apabila meraka membuata kesimpulan yang sedemikian kerana seperti yang saya katakan sebentar tadi emosi kita pasti akan mempengaruhi orang lain di sekeliling kita. Sebaliknya, jika kita dapat bersabar dengan masalah yang melanda, kita pasti dapat menggembirakan orang lain dan prestasi kerja akan meningkat. Seorang pekerja yang bagus akan tetap melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan kerana mereka semua orang bekerja dengan bayaran. Apakah wang yang kita terima setiap bulan terjamin kehalalannya jika kita tidak bekerja dengan bersungguh-sungguh? Jadi di sini bolehlah saya katakan ada kebenarannya jika kesabaran dapat meningkatkan produktiviti diri.

Sahabat sekalian, Allah Ta'ala berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu dan bersedialah serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya”. (Ali Imran: 200)

Daripada ayat di atas, apa yang kita boleh saya simpulkan adalah Allah menyuruh setiap hamba-Nya agar bersabar dalam melakukan perkara yang baik, meningkatkan kesabaran dan sentiasa bertaqwa kepada Allah. Dengan mengamalkan kesabaran InsyaAllah manusia akan berjaya. Sesungguhnya, kesabaran dapat meningkatkan ketahanan emosi.

Dalam konteks menghadapi musibah atau dugaan, kesabaran amatlah penting agar kita dapat menerima bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan setiap apa yang Allah tetapkan untuk kita sepanjang kehidupan ini adalah seadil-adil ketetapan. Alangkah menakjubkan perkara atau urusan orang mukmin, Allah SWT tidak menetapkan untuknya satu ketentuan apapun melainkan hal itu baik baginya. Ini tidak terjadi selain daripada orang mukmin. Dan bila dia dianugerahi dengan kecukupan rezeki dan nikmat, ia bersyukur dan itu baik baginya. Dan bila ia ditimpa kesempitan atau kesusahan ia bersabar dan itu baik baginya. Di sini, saya ingin berkongsi kisah tentang dapatan yang saya temui ketika mencari contoh bagaimana kesabaran dapat meningkatkan ketahanan emosi:

Kisah Nabi Ayub a.s. terkena penyakit kerana perbuatan syaitan adalah kisah benar, wajib dipercayai kerana dipaparkan di dalam al-Quranul Karim dengan Firman Allah SWT (mafhumnya):

"Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub, ketika ia menyeru kepada Tuhannya, dengan rintihan; "Sesungguhnya ya Allah, saya diganggu syaitan dengan kesusahan dan keazaban." (Surah Shaad, ayat 41)

Dengan ayat ini, amat jelas bahawa Nabi Ayub a.s.terkena kesusahan dan keazaban. Cuma perbezaannya apakah jenis penyakit yang baginda alami? Apakah sehingga yang anda sebut tadi, sehingga bernanah dan berkudis serta hancur daging dan sebagainya.

Apa yang disebut penceramah itu memang ada sandarannya, seperti yang pernah kita lihat dalam tafsir-tafsir yang muktabar. Antara lain disebut dalam Tafsir al-Qurtubi, badan Nabi Ayub a.s., gatal dan berkudis, digaru dengan kukunya hingga berdarah. Ditambah lagi dengan digaru dengan tembikar (jenis batu bata) hingga daging-dagingnya berkecai.

Bagaimanapun, perlu disedari bahawa dalam kita-kitab tafsir, walaupun yang muktabar, memang pengarangnya telah memasukkan kisah-kisah yang diistilahkan sebagai israiliyaat (cerita-cerita kaum Bani Israil). Kisah-kisah seperti ini memang menembusi (dicatat) dalam kitab-kitab, bagaimanapun tidak ada sandarannya dan tiada hadis yang benar-benar sahih menceritakannya.

Malah dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk ke 15, di halaman 208, selepas mencatat cerita seperti yang saya sebutkan tadi, penulisnya menghuraikan bahawa cerita-cerita Israiliyaat ditolak oleh ulama muktabar secara keseluruhannya.

Pada hemat saya, setelah melihat banyak tafsir yang menceritakan kisah Nabi Ayub a.s.terkena ibtilak, bahawa memang benar iblis laknatullah berjaya mengenakan Nabi Ayub a.s.dengan gangguan fizikal.

Dengan kejahatan iblis itu baginda terganggu dan susah untuk beribadah dan berasa kesengsaraan kerana gatal-gatal badan yang tidak henti-henti.

Hal ini juga menyebabkan emosi Nabi Ayub a.s.terganggu, yang kenali dengan waswasah, fikiran berkecamuk atau bercelaru bila mengenangkan gangguan ke atas dirinya itu.

Penyakit tersebut, tidaklah sampai badannya hampir luluh, berkudis bernanah sehingga sesiapa yang melihatnya berasa jijik, loya dan hampir termuntah.

Jika ini berlaku, kenabian atau kerasulan Nabi Ayub a.s. akan terjejas kerana tidak ada orang yang mahu menghampirnya, orang melihatnya sebagai mencelarukan fikiran mereka.

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Ayub a.s. terkena penyakit itu selama tujuh tahun, tujuh bulan, tujuh hari, akhirnya Nabi Ayub a.s. mengadu kepada Allah, seperti yang terpapar dalam al-Quran mafhumnya:

"Dan ingatlah kisah Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi.

"Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya.....(hingga akhir ayat)" (Surah al-Anbiya ayat 83-84)

Cara Allah hendak menyembuhkan penyakitnya adalah, pertama, dengan doa (rayuan) Nabi Ayub a.s. seperti di atas. Kedua, Allah mewahyukan kepada Ayub a.s. hentakkan kaki ke bumi yang dipijaknya beberapa kali, sehingga air terpamcar dari bumi itu. Ketiga, ambil air itu untuk diminum dan dimandi dengannya.

Dengan berbuat demikian, Allah menyembuhkan Nabi Ayub a.s. dari penderitaannya, untuk menyambung semula tugas kerasulan baginda.

Walau apa pun yang diulas orang dari cerita ini, hendaklah kita mengambil iktibar bahawa Allah SWT memberikan contoh kepada kita, perihal kesabaran seorang Nabi yang terseksa hidupnya akibat gangguan syaitan.

Akhirnya, setelah begitu lama menanggung kesusahan barulah Nabi Ayub a.s. berdoa ke hadrat Allah memohon kesembuhan, lalu Allah SWT memperkenankan doanya

(Petikan dari Harakah Bil.1338)

Sumber: http://www.darussyifa.org/modules.php?name=News&file=article&sid=24



Daripada kisah Nabi Ayub ini, kita haruslah mengambil pengajarannya tentang bagaimana kesabaran seorang Nabi berjaya memulihkan semangatnya dengan berdoa kepada Allah apabila ditimpa musibah. Apabila ketenangan dusuburkan dalam diri, maka jika berlaku lagi perkara-perkara yang tidak diingini kita pasti boleh mengatasinya dan segalanya akan menjadi lebih mudah. Apa yang penting, kesabaran haruslah dipupuk subur dalam diri jika kita mahu berubah dan menjadi insan yang bahagia di dunia dan akhirat.

0 comments: