Saturday, August 29, 2009

Implikasi Sabar Terhadap Kehidupan Pelajar




Assalamualaikum sahabat sekalian,
Proses pembelajaran adalah suatu proses yang tidak akan berakhir selagi kita hidup di dunia ini. Nabi Muhammad SAW sendiri menggesa kita supaya menuntu ilmu hingga ke negeri China. Apa yang baginda maksudkan bukanlah supaya kita melanjutkan pelajaran di China tetapi ilmu itu perlu dicari walau di mana sahaja di dunia ini. Baginda menyebut negeri China kerana pada waktu itu jarak antara Arab dan China bukanlah dekat. tetapi dengan adanya kemajuan teknologi pengangkutan pada hari ini, proses menuntut ilmu menjadi lebih mudah.


Sebagai seorang penuntut ilmu, atau pun lebih tepat lagi sebagai seorang pelajar, kita semua menghadapi pelbagai masalah yang tidak pernah jemu menerjah kehidupan kita sepanjang proses pembelajaran berlaku. dalam konteks kehidupan seorang insan, pasti kesan sabar dapat dilihat daripada pelbagai aspek. namun pada kali ini saya hanya ingin memfokuskan kesan sabar terhadap kehidupan seorang pelajar.



Perkara pertama yang ingin saya bincangkan di sini ialah kesan sabar ketika menuntut ilmu. sebelum saya nyatakan hikmahnya, moleklah kiranya jika saya nyatakan dahulu masalah-masalah yang mungkin dihadapi oleh kebanyakan pelajar atau diri saya sendiri dalam proses pembelajaran. bagi saya perkara utama yang saya kira amat sukar adalah memahami sesetengah ilmu yang diajar oleh pensyarah-pensyarah. sebagai contoh, saya adalah pelajar major Matematik di institut perguruan. segala formula dan pengiraan bukanlah sesuatu yang mudah untuk difahami, apatah lagi ketika waktu pertama kali belajar tentangnya. perasaan takut, tidak tenteram dan sedih pasti terselit di hati saya apabila berlaku keadaan sedemikian. Namun, apabila saya tenangkan hati, saya fikir mungkin itu adalah dugaan yang Allah berikan kepada saya supaya saya berusaha lebih keras untuk memperoleh kejayaan. oleh itu, saya memperbanyakkan latihan dan sering bertanyakan soalan kepada rakan-rakan dan pensyarah supaya saya tidak terus tengggelam dalam ketidakfahaman saya sendiri. kesannya, sabar membolehkan saya memahami apa yang saya pelajari dan tidak berputus asa apabila dugaaan menimpa. sabar juga membolehkan saya melihat sesuatu daripada sudut pandangan yang lain iaitu mungkin itu caranya Allah membalas doa saya yang mengharapkan kejayaan di dunia dan akhirat. Allah mengabulkan doanya dalam pelbagai cara dan saya tetap redha dengan segala ketentuannya.


Selain itu, kesan sabar juga dapat dilihat dalam pergaulan kita seharian. dalam konteks seorang pelajar, pastilah rakan-rakan dan guru merupakan insan yang sering kita temui ketika menuntut ilmu. pergaulan antara rakan ada pasang surutnya. kadangkala segalanya indah belaka dan hubungan kita sesama rakan berjalan dengan lancar sekali tanpa satu isu pun yang membuatkan kita bertelagah. namun, keindahan bukanlah perkara yang kekal. perselisihan faham bisa terjadi apabila sesuatu perkara tidak dibincangkan secara berhemah. apabila perkara sebegini berlaku, perkara pertama yang kita perlu lakukan ialah bersikap positif dan apa yang penting ialah SABAR. sabar boleh diterjemahkan melalui pertuturan mahupun perbuatan. melalui perbuatan, kita seharusnya tidak boleh menarik muka ataupun terus menjauhkan diri daripada rakan-rakan ketika timbulnya masalah. sebaliknya, kita haruslah bersangka baik dan menunjukkan riak wajah yang tenang agar keadaan tidak menjadi lebih genting. biarpun rakan kita sendiri tidak menunjukkan sikap yang positif namun kita adalah orang yang harus memulakan dan mengekalkannya sekiranya perselisihan faham berlaku. melalui pertuturan pula, jangan sesekali menghamburkan kata-kata kesat kepada orang lain kerana sesungguhnya lidah amat tajam, ia bisa melukakan hati sesiapa pun apabila kata-kata yang tidak manis dilontarkan.sebaiknya, cuba adakan pertemuan dan berbincang tentang masalah yang dihadapi sebelum ia menjadi lebih rumit. paling penting, jangan sesekali melatah apabila kita dituduh melakukan sesuatu. ambil masa untuk bertenang dan berfikir mengapa perkara sedemikian boleh berlaku. kesannya, hubungan dan pergaulan sesama rakan dan guru dapat dieratkan dan permusuhan dapat dielakkan. dengan ini, dapatlah dilihat bahawa sabar dalam pergaulan membolehkan pelajar mengikut apa yang telah Nabi kita sabdakan iaitu seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain.


seterusnya, sabar juga dapat mengelakkan tekanan. Beberapa tahun yang lalu, kita sering digemparkan dengan berita pelajar membunuh diri kerana mendapat keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan. Walaupun keputusan mereka tidaklah seteruk mana dan adakalanya boleh kita anggap cemerlang namun mungkin sasaran mereka tidak tercapai. itulah yang menyebabkan mereka membunuh diri kerana malu, hampa dan kecewa. ada juga yang tidak dapat menerima tekanan daripada pihak keluarga yang begitu berharap supaya mereka mendapat keputusan yang diinginkan. sesungguhnya sabar merupakan penyembuh kepada segala permasasalahan dan ketidaktenteraman jiwa. kita harus percaya kepada qada' dan qadar dengan meyakini segala yang berlaku mempunyai hikmah tersembunyi yang mungkin tidak dapat kita lihat dalam masa yang singkat. sekali gagal bukanlah bererti gagal selamanya. Dengan kegagalan, kita akan berusaha untuk bangkit semula dan menjadikan diri kita lebih kuat daripada sebelumnya. apabila kita tidak putus asa dan terus berusaha tanpa jemu, sudah pasti kejayaan akan datang kepada kita. oleh itu, jelaslah bahawa sabar membolehkan seorang pelajar untuk bertenang dan bangkit semula daripada sebuah kegagalan. pelajar juga tidak akan dipandang sebagai golongan yang rendah ketahanan jiwanya apabila mereka pempraktikkan sifat sabar dalam kehidupan dengan tidak mengambil jalan singkat untuk menghilangkan tekanan.


Masalah kewangan merupakan salah satu penyumbang mengapa kebanyakan anak-anak tidak dapat meneruskan pelajaran. walaupun wang tidak dapat membeli segala benda di dunia ini, namun ia tetap berkuasa dalam menentukan perjalanan hidup ini. dikhabarkan bahawa ramai pelajar terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi terlibat dengan gejala tidak bermoral semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membiayai pembelajaran mereka akibat kesempitan wang. malahan semalam saya terbaca mengenai satu berita di akhbar tempatan bagaimana seorang wanita berumur 40 tahun ditinggalkan suaminya yang berusia 20 an selepas lelaki tersebut menamatkan pengajiannya di universiti. lelaki tersebut hanya berkahwin dengan isterinya agar pelajarannya ditanggung. bak kata pepatah, habis manis sepah dibuang, wanita tersebut ditinggalkan dan barang kemasnya juga lesap dilarikan suaminya yang hilang entah ke mana. ini adalah contoh yang begitu memalukan dan membuatkan golongam mahasiswa dipandang sebagai golongan yang rendah akhlaknya, sama seperti sesetengah remaja berpeleseran yang tidak ke universiti. jika isu ini dipandang daripada sudut yang lain, saya berpendapat pasti masalah sedemikian rupa tidak akan berlaku jika setiap pelajar mengamalkan pengetahuan agama yang mereka miliki. masalah kewangan bukanlah suatu beban yang menyebabkan kita bertindak mengikut hawa nafsu. terdapat banyak lagi pekerjaan halal lain yang membolehkan pelajar mendapatkan wang bagi meneruskan pelajaran. walaupun wang yang didapati tidaklah selumayan mana namun ia sudah cukup untuk membolehkan pelajaran kita diteruskan tanpa terus menambah dosa yang sedia ada sekiranya kita terjebak dalam pekerjaan yang tidak bermoral.

0 comments: